This Is Borneo No.1 Hits Malaysia Radio Internet Station [ LIVE 24hrs NONSTOP MUSIC ]

Song artist:
Song title:
Dedicated to:
Your name:
Your E-mail:

Kamal Adli dan Emma Maembong belum ada rancangan berkahwin


Pelakon Kamal Adli memberitahu rezekinya lebih murah sejak menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Emma Maembong.

Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 29, berkata, biarpun dikecam kerana terkait kontroversi perpisahan aktres tersebut dengan pelawak Zizan Razak, namun dia mengakui menerima hikmah lain.

"Sejak berkawan dengan Emma Maembong memang nama saya dihimpit kontroversi satu persatu, selain dikecam teruk di laman sosial dan digugurkan produksi dari sebuah filem.

"Walaupun agak tertekan dengan perkara itu, ada hikmah lain yang saya nampak iaitu rezeki saya tidak putus-putus. Saya akui banyak tawaran yang saya terima antaranya jadi duta produk minuman Escola," ujarnya kepada mStar Online.



Dalam pada itu, Kamal berkata, drama lakonanya dengan Emma Jodoh Sebelah Pintu yang ditayangkan pada Julai lalu di HyppTV juga mendapat sambutan tinggi.

Katanya, biarpun masih ramai yang tidak menyukai mereka sebagai pasangan kekasih, namun masih mahu menyokong lakonan mereka di televisyen.

"Saya sedar masih ramai yang tidak suka hubungan kami sebab itu juga saya kurang muat naik foto di laman sosial. Tapi disebabkan perkara itu juga mungkin membuatkan drama kami mendapat rating tinggi di HyppTV.

"Mereka tidak suka tetapi mahu juga menonton lakonan kami," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang sejauh mana perkembangan hubungannya dengan Emma, Kamal berkata, mereka belum ada perancangan untuk ke peringkat seterusnya.

"Saya memang ingin berkahwin kerana umur pun sudah 29 tahun, tapi biarlah saya rasa betul-betul stabil dahulu.

"Buat masa ini belum ada perancangan apa-apa, Insya-Allah kalau ada jodoh tidak kemana," ujarnya.

DCT Hamil Hampir Dua Bulan

Selepas Sembilan tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Tarudin akhirnya hamil hampir dua bulan.

Berita kehamilan itu dilaporkan akhbar Utusan Malaysia pada Jumaat yang memetik sumber keluarga terdekat penyanyi itu.

Mengikut perkiraan, Siti, 36, dijangka bersalin pada bulan Jun atau Julai tahun depan.

Kehamilan Siti mula menjadi bualan apabila dia menggambarkan seolah-olah sedang berbadan dua selepas bergurau dengan Hetty Koes Endang semasa konsert Satu Suara Volume 2 di Istana Budaya minggu lalu.

Dalam konsert itu Hetty berkata jika Siti mengandung dia akan memberikan hadiah mikrofon paling mahal.

Siti juga turut memuat naik gambar kurma dan susu kambing di Instagram miliknya yang sinonim untuk kesihatan ibu mengandung.

Namun Siti dan juga suaminya Datuk Seri Khalid Muhamad Jiwa atau Datuk K tidak menafikan dan juga tidak mengiyakan mengenai perkembangan berita baik itu.

Difahamkan, pihak Siti enggan berkongsi cerita itu disebabkan usia kandungan yang masih baharu.

Siti dan Datuk K bernikah pada 21 Ogos 2006.

Harga Kad Prabayar Akan Kembali Kepada Harga Sebelum GST November Ini

Isu harga kad prabayar untuk penggunaan telefon mudah-alih adalah isu yang paling hangat diperkatakan selepas GST dilaksanakan April lalu. Pihak kerajaan sudah berjanji pada Mei yang lalu bahawa harga kad prabayar akan kembali kepada harga asal dalam masa enam bulan. Hari ini Utusan Malaysia melaporkan harga kad prabayar akan kembali kepada harga pra-GST pada bulan November.

Ini bermakna kad yang dijual pada harga RM10 akan memberikan tambah-nilai penggunaan RM10 kepada pengguna tanpa sebarang pengurangan akibat cukai. Pengguna tidak perlu membayar tambahan seperti pada hari ini, sebagai contoh RM10.60 untuk tambah-nilai berharga RM10.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani dipetik menyebut, “Jika pihak telco masih memberi alasan tidak bersedia sekalipun, mereka perlu juga patuh pada arahan ini iaitu mengekalkan harga kad tambah nilai seperti asal. Sebab, secara logiknya kalau pihak telco tidak bersedia, kenapa pengguna pula yang kena tanggung kos tambahan”

Pihak kerajaan menegaskan akan mengambil tindakan sekiranya syarikat telekomunikasi gagal menurunkan harga kad prabayar pada 1 November hadapan. Pengumuman ini pastinya disambut baik oleh rakyat Malaysia yang menggunakan talian prabayar, terutamanya golongan berpendapatan rendah, dan pelajar. Ini sedikit sebanyak mengurangkan perbelanjaan rakyat yang bertambah mendadak selepas GST dilaksanakan. Janji sudah ditepati, kini tiba masa syarikat telekomunikasi untuk tidak degil lagi.

(Viral) Transformasi Gadis Remaja Ini Curi Perhatian

Untuk tampil cantik menawan, satu elemen paling penting adalah merasa yakin dengan kelebihan yang dimiliki.

Mungkin itu kesimpulan kisah gadis cantik yang tiba-tiba menjadi tumpuan pengguna media sosial sejak minggu lalu.

Dikenali sebagai Fara Juliana, remaja berusia 16 tahun ini menjadi perhatian netizen apabila gambarnya yang diambil tiga tahun lalu dibandingkan dengan penampilannya hari ini oleh sebuah portal hiburan.

Laman Instagram Easy Peasy Scarf, dalam satu status yang dimuat naik menjelaskan Fara yang juga model selendang jenama tersebut, hakikatnya adalah seorang gadis biasa.
Suatu ketika dahulu, Fara aktif dalam kegiatan sukan yang membuatkan kulitnya bertukar gelap namun perubahan mula nampak ketara selepas dia meninggalkan bidang itu.

Status itu turut menafikan Fara ada mengambil makanan tambahan seperti kolagen.

Gambar yang diambil untuk promosi dan sebaran jenama Easy Peasy Scarf pula sedikit sebanyak telah dibantu dengan suntingan Photoshop, yang merupakan perkara biasa bagi mana-mana promosi produk fesyen dan kecantikan.

Status itu juga menyebut gadis muda bukan sahaja perlu tampil cantik, tetapi lebih penting mereka juga perlu mempunyai pendidikan dan kebijaksanaan.

Saluran Kaban FM


Sarawak duduki tempat ketiga pada Kejohanan Tinju Remaja Kebangsaan 2015 di Negeri Sembilan.

Permulaan baik bagi skuad tinju SUKMA Sarawak apabila berjaya menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Tinju Remaja Kebangsaan 2015 yang diadakan di Senawang, Negeri Sembilan dari 5 hingga 10 Oktober lepas.

Kontinjen negeri diwakili lapan petinju berjaya membawa pulang satu pingat emas dan dua perak pada kejohanan berlangsung selama enam hari itu.

Ema s di sumbangka n oleh Ismail Arwan selepas menewaskan Mohd Izwan Saimon dari Terengganu dalam kategori 81kg.

Manakala, perak dirangkul oleh Naim Bakri dan Mustaza Sidi selepas tewas di tangan lawan masingmasing dalam kategori 91kg dan 69kg.

Naim kalah di tangan petinju tuan rumah, Ravinder Singh sementara Mustaza juga tumpas di tangan petinju Negeri Sembilan, Muhammad Raqib.

Negeri Sembilan muncul juara keseluruhan dengan menggondol empat emas dan dua gangsa.

Disusuli Kelantan di tempat kedua dengan satu emas, dua perak dan satu gangsa.

“Kita tetap berpuas hati dengan prestasi petinju pada kejohanan ini. Namun perjalanan mereka masih jauh dan perlu lebih bersedia dari segi mental dan fizikal,” menurut Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) Datuk Rahman Lariwoo semalam.

“Terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) yang memberikan sokongan moral yang cukup kuat kepada skuad tinju untuk menghadapi kejohanan ini.

” Menurut Rahman, SABA merancang untuk menghantar sembilan petinju Sarawak menyertai Kejohanan Remaja Jemputan Indonesia yang akan berlangsung di Bandung dari 25 Oktober hingga 1 November depan.

“Saya harap petinju akan menggunakan kejohanan ini sebagai landasan untuk meningkatkan lagi kemahiran serta memantapkan mental dan fizikal mereka.”

Sumber : Utusan Borneo

Komposer Senior Gagal Ikut Trend Muzik - M. Nasir

Penyanyi Datuk M.Nasir berkata komposer senior tempatan gagal mengikut trend muzik terkini menyebabkan mereka menghadapi persaingan sengit dengan komposer muda.

M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad, 58, bagaimanapun menyifatkan perkara itu adalah normal yang dihadapi oleh komposer muzik di mana-mana negara.

"Perkara ini berlaku di mana-mana negara apabila komposer senior terpaksa mengejar trend semasa agar lagu diterima. Diakui tidak semua lagu yang dihasilkan memikat pendengar.

"Kita perlu ikut pasaran muda. Macam saya, lagu yang saya hasilkan sentiasa ke depan. Sampaikan orang muda pula tak terkejar.

"Jadi nak hasilkan lagu ni, kita perlu seimbang, daripada segi idea dan trend," katanya kepada mStar Online.
M. Nasir ditemui pada sidang media konsert M. Nasir Kembara yang diadakan di Talent Lounge, Menara Mustapha Kamal, di sini pada Selasa.

Bekas vokalis kumpulan Kembara yang popular sekitar tahun 1980-an itu berkata, selepas melihat kejayaan siri konsert jelajahnya di Kuantan, Pasir Gudang dan Pulau Pinang sebelum ini, beliau yakin lokasi terakhir di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor mampu menarik lebih ramai peminat.

Ia bakal berlangsung pada 7 November depan pukul 8.30 malam.

"Macam biasa, saya akan bagi persembahan yang lebih baik berbanding konsert-konsert  sebelum ini.

"Saya mengharapkan ia berjaya bukan saja dari sudut sambutan peminat tetapi juga daripada segi persembahan yang akan saya bawakan pada malam konsert,” katanya.

Persembahan pembukaan konsert itu akan diserikan dengan penyanyi Fynn Jamal.

Nama konsert Kembara ini dipilih bukan atas faktor M. Nasir sebagai anggota kumpulan Kembara sebelum ini tetapi kerana perjalanan seni beliau sepanjang berada dalam industri dan kekal sehingga sekarang.

Bagi yang ingin menempah tiket, boleh layari wwww.ticket2u.biz atau hubungi  talian 03-41478600.

Tiket-tiket dijual pada harga RM50, RM100, RM200 dan RM350.